Tabung Kasih@HAWANA: Fahmi Fadzil sampaikan sumbangan kepada Editor Foto NST
PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa untuk menziarahi Editor Foto New Straits Times (NST), Ikhwan Munir, yang kini sedang berdepan ujian kesihatan yang serius.
Fahmi tiba di Hospital Putrajaya sekitar pukul 10.22 pagi bagi menyampaikan sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA kepada Ikhwan, 50, yang disahkan menghidap kanser usus pada Mei lalu dan kini menjalani rawatan.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ikhwan telah lama menabur bakti dalam bidang kewartawanan, dengan rekod perkhidmatan selama 29 tahun di NST sejak menyertai organisasi tersebut pada tahun 1996.
“Semoga sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan dan semangat kepada saudara Ikhwan dalam menghadapi ujian besar ini.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan kebajikan petugas media sentiasa diberi perhatian,” kata Fahmi dalam satu sidang media selepas meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi pengamal media itu.
Baca juga : PM umum RM1 juta untuk Tabung Kasih@HAWANA
Dalam lawatan tersebut, Fahmi turut ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Nur-ul Afida Kamaludin, yang bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada Ikhwan.
Tabung Kasih@HAWANA adalah inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dengan BERNAMA sebagai agensi pelaksana dan dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Program itu merupakan manifestasi semangat Kerajaan MADANI dalam mengangkat nilai ihsan dan keprihatinan terhadap pengamal media yang telah memberi sumbangan besar kepada masyarakat.
Sehingga kini, Tabung Kasih@HAWANA telah memberikan manfaat kepada 405 pengamal media di seluruh negara yang memerlukan sokongan dan bantuan.
Fahmi berkata, inisiatif tersebut dijangka akan terus berkembang, dengan lebih ramai penerima yang akan disantuni, terutama menjelang Majlis kemuncak HAWANA yang akan diadakan pada 14 Jun ini di PWTC.
Dalam pada itu, Fahmi turut menekankan kerajaan akan terus memantau keadaan penerima bantuan dan menyediakan sokongan tambahan jika diperlukan.
“Dengan pelaksanaan inisiatif ini, kerajaan berharap dapat terus memperkukuh semangat kerjasama dan keprihatinan terhadap petugas media dalam usaha menjaga kebajikan mereka, terutama dalam menghadapi cabaran hidup yang sedang ditempuh,” ujarnya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment