JENDELA terus perkasa liputan internet luar bandar termasuk di Julau – Fahmi
KUALA LUMPUR – Kerajaan terus komited untuk memperluaskan liputan internet di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar seperti Julau.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi dan menyokong proses pembelajaran di sekolah-sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman.
“Sehingga 30 Jun 2025, liputan internet 4G di kawasan berpenduduk di Parlimen Julau telah mencapai 58.28 peratus (dan) kita sedang giat melaksanakan perluasan liputan 4G ini (di sana).
“Sasaran adalah untuk meliputi lebih banyak kawasan di Julau dalam tempoh yang lebih singkat,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (Parti Bangsa Malaysia-Julau) yang meminta beliau menyatakan bilakah liputan internet 4G dan 5G akan diperluaskan ke seluruh Julau terutamanya di sekolah-sekolah luar bandar yang masih menghadapi masalah capaian internet.
Fahmi kemudiannya memaklumkan, sebanyak 43 daripada 48 menara komunikasi baharu di Julau telah siap dibina dan beroperasi, menunjukkan kemajuan yang signifikan dalam usaha mempertingkatkan liputan internet di kawasan tersebut.
“Di samping itu, sebanyak 44 daripada 45 stesen pemancar telah dinaik taraf, manakala 1,391 daripada 3,784 premis di Parlimen Julau kini telah tersedia dengan capaian gentian optik.
Fahmi turut memberitahu, sebanyak 46 lokasi di Julau kini dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit Broadband Wireless Access (BWA) yang menyediakan alternatif untuk kawasan yang kurang diliputi oleh infrastruktur konvensional.
“Baki daripada inisiatif JENDELA dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








