BERITA SEMASA

Malaysia perlukan media yang bebas, tidak berat sebelah

IPOH – Malaysia bukan sahaja memerlukan media yang benar-benar bebas, tapi juga yang cukup berani untuk melaporkan sebarang berita tanpa rasa bimbang atau berat sebelah.

Laporan Bernama menyebut, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebagai berkata, media sedemikian diperlukan bukan semata-mata untuk mewujudkan semak dan imbang, malah juga bertujuan memastikan suara semua pihak dapat didengar dan diberi perhatian.

“Malaysia ditempatkan di kedudukan ke-73 dalam indeks World Press Freedom 2023 yang dikeluarkan pertubuhan Reporters Without Borders, kedudukan tertinggi yang belum pernah dicapai Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini.

“Ia tidak seharusnya dipandang enteng, kerana masih ada banyak usaha yang perlu dilaksanakan.

“Jadi saya harap dalam tempoh beberapa hari ini, rakan-rakan media dapat duduk berbincang, mencambah buah fikiran, yang bukan sahaja akan dapat meluaskan pandangan kita, tapi juga akan mencari ikhtiar mengenai apa yang perlu kita lakukan demi masa depan industri ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Forum Media Hawana 2023, di sini hari ini.

Forum dengan tema ‘Masa Depan Media’ anjuran bersama Bernama dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) itu diadakan bersempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023.

Fahmi berkata, selaras dengan pertumbuhan pesat penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) termasuk dalam industri media, pengamal media digesa membantu kerajaan memahami beberapa cabaran kawal selia yang perlu dikaji.

“Hari ini beberapa cabaran yang kita hadapi kini termasuk pertumbuhan pesat penggunaan AI, dan kita telah lihat bagaimana banyak negara sedang bergelut dengan persoalan mengenai AI, sama ada dalam media mahupun di peringkat kerajaan.

“Namun bagi banyak pihak, banyak negara, persoalan ini tidak ditangani, jadi saya harap rakan-rakan media yang berada di sini hari ini juga akan membantu dalam memahami beberapa cabaran kawal selia yang perlu kita kaji, sama-sama memikirkan dan menerima pakai, dalam memastikan etika semasa AI ditangani secara menyeluruh oleh kerajaan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button