BERITA SEMASA

Hubungan kerajaan dan media penting dalam demokrasi – Hannah Yeoh

PUTRAJAYA – Hubungan antara kerajaan dan media merupakan elemen penting dalam memastikan amalan demokrasi negara terus subur, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah), Hannah Yeoh.

Beliau berkata, media tidak seharusnya dilihat sebagai pihak yang hanya mengkritik kerajaan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.

Menurutnya, dalam sistem demokrasi yang matang, hubungan antara kerajaan dan media mungkin tidak sentiasa berada dalam keadaan selesa kerana media juga mempunyai peranan untuk mempersoalkan dasar serta membuat laporan kritikal.

“Kerajaan yang baik tidak takut kepada soalan, dan media yang baik juga tidak berhenti bertanya,” katanya pada majlis bersama rakan-rakan media sempena Ramadan hari ini.

Mengulas pembangunan di wilayah persekutuan, beliau berkata pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti bandar di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau menegaskan dasar kerajaan perlu disampaikan dengan cara yang mudah difahami rakyat agar pelaksanaannya memberi impak yang lebih berkesan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak media membantu menyampaikan maklumat kerajaan dengan lebih ringkas dan mesra pembaca, termasuk melalui penggunaan infografik serta kandungan digital pendek.

“Saya melihat dalam era media sosial hari ini, penyampaian maklumat perlu lebih ringkas kerana ramai orang tidak membaca laporan panjang,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media atas usaha memastikan rakyat mendapat maklumat tepat serta menyokong pentadbiran di bawah gagasan Kerajaan MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button