BERITA SEMASA

Save Press 4 Gaza angkat suara solidariti Malaysia untuk pengamal media Palestin

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 pengamal media berkumpul di Dataran Merdeka di sini hari ini, bagi menzahirkan solidariti terhadap pengamal media yang bertarung nyawa dalam membuat liputan berita di Gaza, Palestin.

Menurut wakil perhimpunan Save Press 4 Gaza (SP4G) Sairien Nafis, pengamal media Malaysia daripada 26 persatuan serta agensi hadir bagi menyokong penuh dan meniup semangat kepada pengamal media di sana untuk terus membuat liputan.

“Jadi, kami sebulat suara berdiri di sini untuk mengecam tindakan kejam rejim Zionis terhadap pengamal media di Gaza dan juga keluarga mereka, serta seluruh anak-anak kecil dan penduduk Palestin yang tidak berdosa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, pihaknya turut menggesa pengamal media di seluruh dunia untuk bangkit bersuara menentang keganasan rejim Zionis dan menunjukkan sokongan kepada media di Gaza agar perjuangan mereka menyampaikan berita tidak sia-sia.

“Kami juga menggesa agar media-media barat menyampaikan berita yang benar dan tepat tentang pembantaian rakyat Palestin oleh rejim Zionis Israel. Tugas kita ialah menyebarkan kebenaran bukan pembohongan dan propaganda,” katanya.

Dalam pada itu, Sairien berkata pihaknya turut memuji rakyat di seluruh dunia yang bertindak menjadi “mata dan mulut” kepada media di Gaza dengan berkongsi hantaran menerusi media sosial dan turun bersolidariti bagi menggesa gencatan senjata serta mengheret orang-orang yang bertanggungjawab dalam serangan berdarah itu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

“Semoga suara kami hari ini sampai kepada pengamal media di Gaza dan seluruh dunia, supaya kita dapat bersama-sama menentang kezaliman dan pembunuhan beramai-ramai di bumi Palestin,” katanya lagi.

Sebagai rekod, lebih 40 pengamal media yang majoritinya wartawan Palestin terkorban akibat tindakan terkutuk rejim Zionis di Gaza sejak awal bulan lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button