Gencatan senjata Gaza 60 hari masih buntu
GAZA – Rundingan damai di Doha bagi menamatkan pertempuran di Gaza terus buntu apabila kedua-dua pihak, Israel dan Hamas, enggan berganjak daripada tuntutan masing-masing.
Hamas, dalam kenyataan terbaharu, memaklumkan pihaknya telah menyerahkan maklum balas rasmi terhadap cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang dibentangkan oleh perantara antarabangsa termasuk Qatar dan Amerika Syarikat.
“Maklum balas tersebut turut merangkumi pandangan beberapa pihak Palestin lain yang terlibat, dan telah disampaikan secara rasmi kepada pihak perantara,” kata Hamas menerusi saluran Telegram.
Menurut sumber Palestin yang terlibat secara langsung dalam rundingan, cadangan pindaan dalam maklum balas itu melibatkan beberapa perkara penting.
Antaranya termasuk kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan, pemetaan kawasan yang mesti ditinggalkan oleh tentera Israel, serta jaminan untuk menamatkan perang secara kekal.
Bagaimanapun, usaha ke arah persetujuan masih tersangkut kerana perbezaan prinsip antara kedua-dua pihak.
Hamas menuntut jaminan jelas terhadap gencatan senjata berkekalan, pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza, serta kelancaran laluan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik.
Sebaliknya, Israel pula menetapkan pembubaran sepenuhnya keupayaan ketenteraan dan struktur pemerintahan Hamas sebagai syarat utama yang tidak boleh dirunding.
Jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, dalam sidang akhbar pada Rabu menuduh Hamas sebagai penghalang utama rundingan walaupun pihaknya bersetuju dengan cadangan asal yang dibawa oleh Qatar serta versi yang dikemas kini oleh utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff.
“Pasukan perunding Israel masih berada di Doha dan bersedia untuk teruskan rundingan. Tetapi Hamas yang enggan menerima cadangan yang dibentangkan,” katanya.
Isu pembebasan tebusan warga Israel yang ditawan semasa serangan Hamas pada 2023 terus menjadi salah satu titik rundingan.
Daripada 251 individu yang ditawan, 49 dilaporkan masih berada di Gaza, dengan tentera Israel mengesahkan 27 daripadanya telah meninggal dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat memaklumkan bahawa Steve Witkoff akan berlepas ke Eropah minggu ini bagi meneruskan rundingan dengan beberapa pihak berkepentingan berhubung gencatan senjata serta laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








