112 mangsa tertimbus serangan IDF sejak dua tahun lalu dikebumikan
GAZA – Penantian hampir dua tahun untuk menyempurnakan pengebumian 112 rakyat Palestin yang maut dalam serangan udara Israel berakhir apabila ribuan penduduk menghadiri satu upacara pengebumian besar-besaran di Bandaraya Gaza, semalam.
Mangsa terdiri daripada anggota dua keluarga besar Abu Sharia dan Hassayna yang terkorban apabila bangunan kediaman mereka musnah dalam serangan pada 22 November 2023.
Jenazah yang tertimbus di bawah runtuhan sebuah blok kediaman itu berjaya dikeluarkan selepas operasi mencari dan menggali selama dua minggu dijalankan di kawasan kejiranan Sabra.
Rakaman video upacara pengebumian itu memaparkan deretan keranda yang diselubungi bendera Palestin, manakala sebahagiannya dihiasi gambar mangsa diusung ahli keluarga ke tanah perkuburan.
Upacara tersebut disifatkan sebagai antara pengebumian terbesar pernah diadakan di Gaza sejak tercetusnya konflik.
“Saya merasakan inilah perasaan yang sepatutnya kami lalui, iaitu kesakitan, kesedihan dan kehilangan.
“Selepas berjaya mengeluarkan dan mengebumikan mereka, mungkin sedikit kelegaan dapat dirasai walaupun kesakitan akibat kehilangan masih berterusan,” kata waris mangsa, Ali Abu Sharia.
Menurut senarai mangsa, seramai 44 kanak-kanak, 38 wanita dan tujuh orang kurang upaya terbunuh dalam serangan berkenaan.
Serangan itu berlaku ketika Israel melancarkan operasi ketenteraan intensif di Gaza selepas tercetusnya perang bermula 7 Oktober 2023.
Sehingga kini, tentera Israel (IDF) belum mengulas mengenai sasaran sebenar serangan yang memusnahkan blok kediaman itu.
Operasi mengeluarkan mayat dijalankan oleh Pasukan Pertahanan Awam Gaza dengan bantuan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), termasuk penyediaan peralatan keselamatan, beg mayat dan jentera pengorek.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, berkata bangunan yang musnah itu dipercayai menempatkan lebih 180 orang awam ketika serangan berlaku, namun pasukan penyelamat gagal memasuki kawasan berkenaan pada hari kejadian atas faktor keselamatan.
Menurut pihak berkuasa Gaza, puluhan lagi mayat dipercayai masih tertimbus di lokasi sama, manakala ribuan lagi penduduk di seluruh Semenanjung Gaza masih dilaporkan hilang dan dipercayai berada di bawah runtuhan bangunan akibat serangan yang berterusan.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh sejak perang bermula, sementara usaha mencari serta mengenal pasti mangsa masih diteruskan di kawasan yang musnah teruk. – AGENSI
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







