SUKAN

Azizulhasni tunggu keputusan KBS mengenai hala tuju ke Olimpik 2028

SEPANG – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih belum membuat keputusan sama ada akan meneruskan kariernya sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028 meskipun baru sahaja menghadiahkan pingat emas acara keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Menurut beliau, keputusan mengenai masa depannya tidak hanya bergantung kepada kehendak peribadi, sebaliknya perlu mengambil kira pendirian rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

“Sekiranya khidmatnya masih diperlukan dalam kempen kelayakan Olimpik negara, beliau akan terlebih dahulu berbincang dengan pasukan, keluarga dan penaja sebelum membuat keputusan muktamad.

“Bagi saya sekarang, ia bukan soal sama ada saya mahu ke Los Angeles atau tidak, tetapi sama ada Malaysia masih memerlukan khidmat saya.

“Jika memang diperlukan, saya akan berbincang dahulu dengan pasukan, keluarga serta penaja sebelum membuat perancangan seterusnya,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Azizulhasni berkata, fokus utamanya ketika ini adalah untuk menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadual berlangsung dalam tempoh lapan minggu lagi.

Beliau mengakui cabaran di Jepun bakal lebih sukar memandangkan tuan rumah dan China memberi tumpuan sepenuhnya kepada temasya berkenaan, selain skuad negara mempunyai tempoh persiapan yang agak singkat selepas beraksi di Sukan Komanwel.

“Fokus saya sekarang ialah Sukan Asia kerana saya berharap dapat memberikan keputusan yang sama walaupun saya tahu ia bukan mudah.

“Jepun dan China hanya menumpukan sepenuh persiapan ke temasya itu. Kita pula baru selesai Sukan Komanwel, perlu melalui proses pemulihan, kembali berlatih dan melakukan tapering semula dalam tempoh yang singkat.

“Namun, saya akan mengambilnya selangkah demi selangkah dan berharap dapat mengulangi kejayaan sebelum mungkin menggantung basikal,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Azizulhasni turut memaklumkan bahawa penyertaannya di Kejohanan Dunia masih belum diputuskan kerana ia berkait rapat dengan perancangan kempen kelayakan ke Olimpik LA 2028.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button