BERITA SEMASA

Ramai kelihatan ceria di tempat kerja, hakikatnya bergelut dengan kesihatan mental – PHM 

KUALA LUMPUR – Tidak semua individu yang kelihatan ceria dan mampu menjalankan rutin harian berada dalam keadaan baik dari sudut emosi kerana ada yang sebenarnya sedang bergelut dengan tekanan dan masalah kesihatan mental tanpa disedari orang sekeliling.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook berkata, ramai individu masih mampu hadir bekerja, tersenyum, bergurau dengan rakan sekerja dan menyiapkan tugasan seperti biasa walaupun sedang berdepan konflik emosi yang berat.

Menurut PHM, keadaan itu menyebabkan ramai gagal menyedari seseorang mungkin sedang melalui tekanan kerana masyarakat sering mengaitkan senyuman dengan kebahagiaan dan pencapaian dengan ketenangan.

“Masih mampu berfungsi dalam kehidupan seharian tidak bermakna seseorang itu benar-benar baik. Ada yang setiap hari memaksa diri bangun dari tidur, memujuk diri supaya tidak berputus asa dan memakai ‘topeng’ agar orang lain tidak bimbang,” menurut hantaran itu.

PHM berkata, hanya individu terbabit dan Tuhan yang mengetahui beban emosi yang ditanggung, termasuk kesedihan yang dipendam serta perjuangan untuk meneruskan kehidupan setiap hari.

Sehubungan itu, orang ramai disaran supaya lebih peka terhadap keadaan individu di sekeliling dan mengelakkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan seperti menganggap seseorang hanya “terlalu berfikir” atau membandingkan kesusahan mereka dengan orang lain.

Sebaliknya, PHM berkata, individu yang sedang berdepan tekanan emosi lebih memerlukan seseorang yang sudi mendengar tanpa menghakimi berbanding memberikan nasihat yang tidak diminta.

Dalam masa sama, PHM turut mengingatkan mereka yang sedang bergelut dengan kesihatan mental supaya tidak berasa malu atau menganggap diri lemah sekiranya memerlukan bantuan.

“Meminta pertolongan bukan tanda kalah, sebaliknya menunjukkan seseorang masih memilih untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

PHM turut menggalakkan individu yang merasakan beban emosi semakin sukar ditanggung supaya berbincang dengan insan yang dipercayai atau mendapatkan bantuan daripada profesional kesihatan mental kerana tiada siapa perlu menghadapi tekanan itu secara bersendirian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button