JENAYAH & MAHKAMAH

Gagal bayar denda RM120,000, dua lelaki dipenjara miliki LPG bersubsidi tanpa lesen

KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan dihukum penjara enam bulan selepas gagal membayar denda RM120,000 setiap seorang yang dikenakan Mahkamah Sesyen Sepang kerana memiliki Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi untuk urus niaga borong tanpa lesen.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Adam berkata, kedua-dua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana memiliki 3,450 kilogram LPG.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM120,000 terhadap setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, namun mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

“Mahkamah turut memerintahkan sebuah lori dan hasil jualan berjumlah RM13,127.50 dilucuthakkan kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Azman, kesalahan itu dilakukan pada 16 November 2023 di sebuah premis di Jalan Dengkil-Banting, Kampung Dengkil, Sepang.

Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan anggota penguat kuasa, kedua-dua tertuduh didapati sedang memunggah tong LPG dari sebuah lori ke stor penyimpanan yang beroperasi tanpa lesen atau permit.

Hasil pemeriksaan menemukan 3,450 kilogram LPG terdiri daripada tong berisi dan tong kosong pelbagai jenama.

Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah lori, dokumen penghantaran serta sebuah telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Azman berkata, siasatan turut mendapati premis terbabit serta kedua-dua tertuduh gagal mengemukakan lesen atau permit sah bagi mengendalikan barang kawalan berjadual berkenaan.

Sepanjang prosiding perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi dan mengemukakan 89 barang kes sebelum mahkamah menjatuhkan sabitan terhadap kedua-dua tertuduh.

Dalam pada itu, KPDN menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button