KPDN tumpas stor haram simpan 190 tong LPG di Kajang, rampasan cecah RM83,116
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan satu aktiviti penyimpanan haram gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan ke atas sebuah premis tanpa nama di sini, baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya pada 9 Februari itu hasil risikan berhubung kewujudan premis yang disyaki menyimpan barang kawalan tanpa lesen sah.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, ketika tiba di lokasi, premis berpagar zink itu didapati berkunci sebelum pasukan penguat kuasa berjaya memasuki kawasan tersebut untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua individu warga tempatan iaitu seorang lelaki dan perempuan berada di lokasi, masing-masing dipercayai berperanan sebagai pemandu lori dan pemandu kereta.
“Pasukan serbuan menemui sebuah lori jenis Daihatsu yang membawa 110 tong LPG jenama BHP berkapasiti 14 kilogram.
“Turut ditemui di pelantar premis ialah tambahan 80 tong LPG berkapasiti 14 kilogram dan 50 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati bekalan berkenaan diperoleh daripada sebuah syarikat di Bandar Rinching, Semenyih.
Bagaimanapun, pemeriksaan mengesahkan premis di Kajang itu tidak memiliki lesen sah untuk menyimpan atau menjalankan urus niaga barang kawalan.

“KPDN menyita kesemua tong LPG berkenaan bersama sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM83,116.
“Bagi tujuan siasatan lanjut, arahan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan bagi mendapatkan dokumen berkaitan serta pengisytiharan stok barang kawalan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 akta sama yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.
Menurut Azman, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar perundangan berkaitan barang kawalan.
“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama,” katanya.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN bagi membantu membanteras ketirisan subsidi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








