Rosmah diperintah deposit RM67.46 juta sementara menunggu rayuan
KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM67,461,027.37 berhubung kehilangan 43 barang kemas, namun jumlah itu akan didepositkan ke dalam akaun pemegang amanah sementara menunggu keputusan rayuan penuh kes berkenaan.
Memetik laporan Utusan Online, Pesuruhjaya Kehakiman, Marianne Antoinette Ghani membuat keputusan itu dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian melalui Zoom hari ini.
Mahkamah menetapkan jumlah berkenaan perlu dimasukkan ke dalam akaun pemegang amanah dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
Pembayaran tersebut bukan dibuat terus kepada pemilik barang kemas mewah berkenaan, Global Royalty Trading SAL, sebaliknya akan disimpan dalam akaun pemegang amanah sehingga rayuan penuh kes diputuskan.
Pada 10 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Quay Chew Soon, memerintahkan Rosmah membayar ganti rugi RM67,461,027.37 selepas mendapati beliau bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barang kemas berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah membayar kos berjumlah RM150,000 kepada Global Royalty Trading SAL, selaku pemilik barang kemas, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.
Perintah terbaharu itu bermakna jumlah ganti rugi berkenaan perlu disimpan sementara proses rayuan terhadap keputusan terdahulu diselesaikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








