Timbalan Ketua Pengarah JAS didakwa lagi kes rasuah RM9,110
SHAH ALAM – Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Dr Norhazni Mat Sari didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan berkaitan kerja baik pulih kediamannya, empat tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 59 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Norhazni sebagai penjawat awam didakwa menerima suatu benda berharga tanpa balasan, iaitu bayaran kerja membaik pulih rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya berjumlah RM9,110 daripada seorang pengarah syarikat pengurusan sisa berjadual.
Bayaran itu didakwa dibuat melalui pindahan dalam talian ke akaun milik sebuah syarikat pembinaan di sebuah bank di Taman Sentosa, Klang pada 25 Mei 2022.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin memohon agar mahkamah membenarkan jaminan RM25,000 yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diguna pakai bagi kes berkenaan, selain mencadangkan supaya kedua-dua kes dibicarakan bersama.
Peguam bela, Haresh Mahadevan tidak membantah permohonan tersebut.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh menggunakan jaminan sedia ada dan menetapkan 19 Mei depan untuk sebutan serta perbicaraan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan Norhazni turut didakwa atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM21,000 daripada syarikat sama.
Bagi semua pertuduhan terdahulu, tertuduh didakwa menerima wang tersebut tanpa balasan walaupun mengetahui pengarah syarikat berkenaan mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Wang berkenaan didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik anak tertuduh melalui pindahan dalam talian pada 18 April 2022.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








