JENAYAH & MAHKAMAH

Semakan kehakiman: Rayuan Daim, keluarga didengar hari ini

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini akan mendengar rayuan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Pada 5 Mac lalu, Daim dan keluarganya memfailkan rayuan, sehari selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa Daim dan keluarganya gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.

Menerusi permohonan itu, pemohon mendakwa pada 30 Disember 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadap Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.

Daim berkata, Kertas Pandora ialah fail sulit yang bocor pada 2021 yang mendedahkan nama-nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan kesemua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.

Justeru itu, mereka memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan para pegawainya membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap pemohon dari Februari 2023 sehingga kini serta membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button