Rasuah dari firma guaman: 49 pegawai, bekas pegawai bank akan didakwa
PUTRAJAYA – Seramai 49 pegawai dan bekas pegawai beberapa institusi perbankan utama negara bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam secara berperingkat sepanjang November ini atas pertuduhan menerima rasuah daripada beberapa firma guaman.
Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memperoleh keizinan mendakwa kesemua individu terbabit selepas siasatan mendapati mereka disyaki menerima komisen atau bayaran sogokan daripada firma guaman sebagai balasan melantik syarikat tersebut untuk menguruskan dokumen perjanjian pembiayaan kewangan pelanggan.
“Kegiatan ini dipercayai berlaku antara tahun 2018 hingga 2023, melibatkan urus niaga di beberapa institusi kewangan utama.
“Bayaran komisen atau ‘upah’ itu ada yang dibuat sebelum urusan pinjaman pelanggan diselesaikan,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Menurut sumber, kegiatan berkenaan berjaya dibongkar hasil Operasi Tiger (Op Tiger) yang dilancarkan SPRM sekitar Jun 2024, hasil risikan terhadap amalan tidak beretika antara pegawai bank dan pihak firma guaman.
Difahamkan, kesemua mereka akan dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dengan 249 pertuduhan keseluruhan melibatkan jumlah rasuah hampir RM700,000.
“Pendakwaan akan dijalankan secara berperingkat sepanjang bulan ini memandangkan jumlah tertuduh yang ramai dan kes melibatkan pelbagai institusi kewangan,” ujar sumber berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








