10 substrategi NACS selesai setakat 3 Jun – SPRM
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan 10 substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 berjaya dilaksanakan setakat 3 Jun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kejayaan itu melibatkan pelaksanaan oleh tujuh agensi peneraju termasuk SPRM sendiri dan diumumkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Prestasi NACS 2024-2028 bersama Agensi Peneraju bagi Tahun 2025 semalam.
Daripada jumlah itu, lima substrategi telah diselesaikan tahun lalu manakala lima lagi disempurnakan menjelang 3 Jun, menurut kenyataan SPRM.
“Kejayaan pelaksanaan 10 substrategi ini mencerminkan komitmen serta kecekapan agensi-agensi terlibat dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Antara substrategi yang disempurnakan termasuklah penganjuran minggu bertema etika, nilai murni dan antirasuah di institusi pendidikan; penambahbaikan Kursus Integriti dan Antirasuah di IPT; serta pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) di kementerian, jabatan dan agensi.
Turut tersenarai ialah usaha memperkukuh fungsi Audit Dalam perkhidmatan awam, penggubalan undang-undang kawalan sempadan serta penambahbaikan sistem saringan pengambilan penjawat awam.
SPRM menegaskan kejayaan awal ini menunjukkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus serta membanteras rasuah secara sistematik, seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat dan komuniti antarabangsa terhadap pentadbiran negara.
Azam turut menyeru ketua-ketua agensi peneraju agar memperkukuh penyelarasan dalaman menerusi Unit Integriti masing-masing, selain menekankan keperluan kerjasama erat antara bahagian dalam kementerian dan jabatan.
Status pelaksanaan semua substrategi NACS kini boleh diakses secara awam melalui laman web rasmi d-NACS yang bertindak sebagai papan pemuka digital interaktif, memperkukuh prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
NACS 2024-2028 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mei lalu menggariskan 60 substrategi menyeluruh yang menumpukan kepada pencegahan rasuah, pengukuhan tatakelola serta mekanisme pemantauan berstruktur.
Inisiatif itu dijangka menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







