PN gesa tubuh jawatankuasa khas siasat perjanjian mega RM1.1 bilion libat bekas menteri kanan
KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan menubuhkan segera sebuah Jawatankuasa Khas Siasatan bertaraf Suruhanjaya Siasatan Diraja yang diketuai oleh seorang bekas hakim mahkamah atasan untuk menyiasat dakwaan berlakunya perjanjian mega bernilai RM1.1 bilion melibatkan bekas menteri kanan.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya merakamkan rasa terkejut dan bimbang susulan laporan media berkait siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas satu perjanjian mega antara kerajaan pusat dengan sebuah syarikat asing.
Lebih serius katanya, berdasarkan maklumat daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perjanjian ini juga melibatkan seorang bekas menteri kanan dalam pentadbiran semasa.
“Langkah tegas dan segera amat perlu diambil jika kerajaan benar-benar serius dan komited dalam usaha memerangi rasuah dan salah laku hingga ke akar umbi.
“Kerajaan tidak boleh berdiam diri atau berlindung di sebalik prosedur dan retorik semata-mata. Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan fakta sebenar.
“Angka RM1.1 bilion bukan kecil, selain merupakan dana awam dan melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap integriti sistem pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kegagalan bertindak tegas dan telus hanya akan menguatkan persepsi bahawa terdapat usaha untuk menyembunyikan atau melindungi sesuatu atau seseorang.
Sementara itu katanya, PN akan terus memantau perkara ini secara dekat bagi memastikan prinsip-prinsip ketelusan, akauntibiliti dan integriti ditegakkan tanpa kompromi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








