BERITA SEMASA

‘Abang Susu’ raih Anugerah TOYM 2026, aktif bantu ribuan kanak-kanak dan keluarga kurang berkemampuan

KUALA LUMPUR – Gelaran ‘Abang Susu’ yang diberikan masyarakat kepada pengasas dan Pengarah Wellspring Builtrade, Klaus Lim hasil usaha membantu ribuan kanak-kanak dan keluarga kurang berkemampuan kini diterjemahkan menerusi pengiktirafan Anugerah 10 Belia Cemerlang Malaysia 2026 (TOYM).

Pengiktirafan itu diberikan atas komitmen serta sumbangan berterusan beliau dalam kerja kebajikan, terutama membantu kanak-kanak dan keluarga rentan menerusi pelbagai inisiatif kemasyarakatan.

Klaus sebelum ini aktif menganjurkan dan menyokong pelbagai program kebajikan, termasuk usaha membantu golongan kanak-kanak serta keluarga yang berdepan kesukaran hidup.

Sumbangan beliau dalam bidang kanak-kanak, keamanan dunia dan hak asasi manusia membolehkan beliau menerima anugerah bagi kategori ‘Sumbangan kepada Kanak-kanak, Keamanan Dunia dan/atau Hak Asasi Manusia’ pada TOYM 2026, yang berlangsung baru-baru ini.

anugerah
Klaus Lim ketika menerima anugerah bagi kategori Sumbangan kepada Kanak-kanak, Keamanan Dunia dan/atau Hak Asasi Manusia’ sempena TOYM 2026 baru-baru ini.

Selain aktif dalam kerja kebajikan, Klaus turut giat mengembangkan perniagaan yang diceburinya sebagai pengarah Wellspring Builtrade, syarikat yang terbabit dalam pengeluaran dan pembekalan paip tanah liat serta sistem saliran.

Syarikat berkenaan menggunakan teknologi dan kaedah pembuatan dari Jerman dalam menghasilkan paip tanah liat, selain membekalkan produknya ke pasaran tempatan dan secara berperingkat mengembangkan pasaran ke luar negara.

Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun dalam bidang sistem saliran dan sektor berkaitan, syarikat berkenaan terus memperluaskan pasaran menerusi pelbagai saluran, selain meningkatkan pengaruh jenama serta produknya.

Bagi Klaus, pengalaman hidup ketika zaman kanak-kanak termasuk pernah berdepan keadaan kelaparan, menyebabkan beliau memahami kesukaran yang dihadapi keluarga miskin dalam mendepani tekanan kehidupan.

“Pengalaman ini menjadi pendorong untuk saya terus menyumbang kepada masyarakat selepas mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan dengan menyalurkan sumber syarikat serta tenaga peribadi kepada usaha kebajikan,” katanya.

Menurut Klaus, beliau mula mempergiatkan kerja kebajikan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyalurkan susu tepung serta barangan keperluan bayi kepada keluarga miskin dan ibu atau bapa tunggal.

Usaha itu secara keseluruhannya memberi manfaat kepada lebih 10,000 kanak-kanak menerusi sumbangan susu formula bayi sehingga beliau dikenali dalam kalangan masyarakat sebagai ‘Abang Susu’.

Selain itu, beliau juga menyalurkan bantuan perubatan hospital kepada golongan kurang berkemampuan serta mengadakan Kempen Anti Buli di sekolah dan Kempen Anti Dadah dengan kerjasama Persatuan Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Malah, usaha kebajikan berkenaan turut diperluaskan ke Indonesia, Thailand, Kemboja, Brunei, Taiwan dan Laos, selaras dengan prinsip yang dibawanya iaitu ‘berbuat baik tanpa sempadan’.

Atas komitmen itu, beliau turut menerima Anugerah Tokoh Cemerlang Pembangunan Mampan Asia pada Sustainability & CSR Malaysia Awards 2025 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusannya dalam tanggungjawab sosial korporat dan khidmat kebajikan.

Usahawan muda ini berkata,, usaha kebajikan tidak seharusnya dibatasi oleh perbezaan pendirian atau latar belakang, sebaliknya semua pihak daripada pelbagai bidang dan lapisan masyarakat boleh bekerjasama demi membantu lebih banyak keluarga kurang berkemampuan serta kanak-kanak.

Katanya, hanya melalui penyatuan kekuatan sektor korporat, pertubuhan masyarakat dan seluruh lapisan masyarakat, usaha kebajikan mampu memberikan impak lebih besar kepada mereka yang memerlukan.

“Pada masa akan datang, saya berhasrat menggabungkan sumber syarikat dengan kekuatan masyarakat untuk melaksanakan lebih banyak inisiatif kebajikan membabitkan kanak-kanak, belia, pendidikan dan pembangunan komuniti demi mewujudkan nilai positif kepada masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button