BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Isytihar palsu barang import: SPRM reman pemilik syarikat, beku akaun RM160 juta

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pemilik syarikat dipercayai terlibat dalam sindiket mengisytiharkan butiran palsu barangan import kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pelabuhan Klang.

Perintah reman selama lima hari sehingga 26 April 2026 itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam dalam operasi Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di sekitar Lembah Klang.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif sejak 2020 sebagai ‘runner’ kepada individu, syarikat dan ejen penghantaran yang mengurus kemasukan barangan import di Pelabuhan Klang.

“Suspek yang dipercayai antara ahli sindiket turut terlibat dalam penyeludupan barangan kontraban dari pelbagai negara dengan menggunakan modus operandi Trade Based Money Laundering,” katanya.

Operasi bersepadu menerusi Op Celio itu melibatkan kerjasama Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, JKDM dan Bank Negara Malaysia.

Sebanyak 14 lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek di sekitar Lembah Klang telah digeledah, manakala operasi menyasarkan 28 entiti terdiri daripada syarikat, pengimport, ejen penghantaran serta orang tengah.

Kesemua pihak tersebut disyaki membuat pengisytiharan palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import bagi mengelak atau mengurangkan bayaran duti kastam.

Siasatan turut mendapati sindiket berkenaan dipercayai memberi rasuah kepada penguat kuasa bagi melindungi kegiatan haram itu selain terlibat dalam pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.

Dalam operasi sama, SPRM membekukan 133 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan jumlah kira-kira RM160 juta.

Kegiatan itu dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian hasil duti kastam mencecah RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan operasi tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta AMLATFPUAA 2001.

Tambah beliau, Op Celio akan diteruskan hari ini dengan menyasarkan 14 lagi premis melibatkan kediaman, syarikat dan ejen penghantaran di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kelantan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button