Dakwaan rasuah anggota kanan ATM, SPRM dijangka panggil beberapa saksi esok
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka akan memanggil beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan seorang pegawai kanan angkatan tentera.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu susulan maklumat yang diterima daripada polis bandar raya, yang turut berkongsi butiran kerana terdapat kemungkinan unsur rasuah yang perlu disahkan, khususnya berkaitan transaksi kewangan, lapor Astro Awani.
“Buat masa ini, kami melihat terdapat beberapa transaksi melibatkan kemasukan wang ke dalam akaun seorang pegawai kanan angkatan tentera.
“Kami sedang meneliti transaksi-transaksi ini sebelum mengambil tindakan lanjut untuk memanggil mana-mana saksi bagi memberi keterangan.
“Saya menjangkakan beberapa saksi akan dipanggil dalam masa terdekat, mungkin esok, untuk memberikan penjelasan awal berhubung sebahagian transaksi kewangan yang kami peroleh daripada pihak bank,” katanya, hari ini.
Azam Baki turut memberitahu, pihaknya telah mengambil tindakan proaktif semalam dengan mengunjungi Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan dokumen perolehan secara rawak meliputi tempoh 2023 hingga 2025 untuk tujuan semakan.
Analisis kewangan sedang dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga hari, bergantung kepada dokumen mahkamah yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
Beliau juga mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






