DBKL perjelas isu tatakelola lemah, mundur dibangkitkan SPRM
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan dakwaan tatakelola lemah dan ‘mundur’ seperti dibangkitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah hasil perbincangan dalam satu sesi pembentangan penambahbaikan tatakelola yang diadakan pada 29 Januari lalu.
DBKL berkata, perkara itu merujuk kepada Sesi Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM kepada DBKL, yang turut disentuh dalam laporan Berita Harian bertarikh 3 Februari.
“Sesi berkenaan membincangkan beberapa aspek penambahbaikan termasuk pengurusan pelaksanaan projek, pengurusan bazar perayaan, pemantauan kontrak, kutipan sewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), serta tadbir urus penganjuran kejohanan sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berhubung pengurusan bazar perayaan, DBKL memaklumkan pihaknya telah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) memandangkan Bazar Ramadan dijangka bermula dalam tempoh dua minggu.
“SOP ini merangkumi tatacara permohonan, pengagihan tapak, kawalan dan tindakan penguatkuasaan serta perkara berkaitan lain bagi memastikan pengurusan bazar dilaksanakan secara teratur dan telus,” katanya lagi.
DBKL turut menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pengurusan Bazar yang akan bersidang sekurang-kurangnya sekali seminggu atau mengikut keperluan bagi memantau pematuhan SOP dan tatakelola.
Jawatankuasa itu juga berperanan menyelaras tindakan penguatkuasaan, melaksanakan pembatalan lesen sekiranya perlu serta membuat penilaian prestasi penjaja.
Sementara itu, DBKL memaklumkan pihaknya sedang mengemas kini dan menyediakan SOP bagi aspek lain yang dibincangkan bersama SPRM dalam tempoh sebulan sebagai langkah penambahbaikan berterusan ke arah memperkukuh tadbir urus dan integriti pengurusan bandar raya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







