BERITA SEMASADALAM NEGERI

30 peratus bukan bahagian yang layak diambil NGO dari derma

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, fahaman yang membolehkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengambil 30 peratus daripada jumlah derma awam adalah salah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dari perspektif tadbir urus organisasi NGO, garis panduan sering dirujuk ialah panduan tadbir urus oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang menyatakan bahawa kos pentadbiran yang baik, lazimnya tidak melebihi 30 peratus daripada belanjawan tahunan pertubuhan.

Menurutnya, peratusan terbabit merujuk kepada kos operasi atau overhead seperti gaji kakitangan, sewaan pejabat, utiliti, pengurusan program dan kos pentadbiran lain.

“Angka 30 peratus ini bukan bermaksud NGO atau pengasasnya boleh mengambil 30 peratus daripada jumlah kutipan sumbangan orang ramai sebagai komisen atau keuntungan peribadi.

“Contohnya, kos bayar gaji pekerja NGO, bayar sewa bangunan dan utiliti ialah RM30,000 sebulan, hanya RM9,000 sahaja boleh diambil untuk kos pentadbiran,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Azam berkata, tidak kira NGO itu dapat berpuluh juta sekali pun sumbangan awam, namun hanya RM9,000 sahaja yang layak digunakan.

“Sebab syaratnya ialah 30 peratus dari Belanja Tahunan bukan dari keseluruhan kutipan.

“Peratusan itu hanyalah panduan bagi memastikan kos pentadbiran tidak terlalu tinggi berbanding perbelanjaan program sebenar.

“Fahaman yang membolehkan NGO mengambil 30 peratus daripada jumlah derma awam adalah salah,” katanya.

Menurut Azam, sekiranya penggunaan kos pengurusan itu tidak disertai ketelusan, laporan kewangan atau audit yang jelas, keadaan itu boleh menimbulkan risiko salah guna dana, konflik kepentingan atau pecah amanah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button