Op Celio diperluas, buru pegawai penguat kuasa bersekongkol
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan Op Celio ke Pulau Pinang dan Kelantan bagi memburu sindiket pengisytiharan palsu barang import, termasuk pegawai penguat kuasa yang disyaki bersekongkol.
Operasi yang bermula sejak Selasa lalu itu menyasarkan premis syarikat serta kediaman suspek, selepas lebih 26 lokasi di sekitar Lembah Klang diserbu sebelum ini.
Sumber berkata, operasi terbaharu memfokuskan kepada premis ‘consignee’ iaitu pihak penerima barangan import yang dipercayai membuat pengisytiharan palsu berkaitan kuantiti dan jenis barang bagi mengelak atau mengurangkan bayaran duti kastam.
“Siasatan turut mengenal pasti beberapa pegawai penguat kuasa yang disyaki terbabit dalam aktiviti rasuah dengan melepaskan kontena bermasalah,” memetik BH online.
Menurut sumber, setakat ini lima individu sudah dirakam keterangan, manakala beberapa lagi termasuk ejen penghantaran dan ‘consignee’ akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan perkembangan berkenaan dan memaklumkan sebanyak 133 akaun milik individu serta syarikat dibekukan melibatkan nilai kira-kira RM185 juta.
Terdahulu, operasi dijalankan bersama Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) itu menyasarkan rangkaian melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang dipercayai memanipulasi dokumen import.
Kegiatan tersebut dianggarkan menyebabkan kerajaan kerugian hasil duti kastam mencecah RM1.5 bilion dalam tempoh lima tahun.
SPRM dijangka meneruskan operasi secara berfasa di beberapa negeri lain bagi mengekang ketirisan hasil negara serta membongkar rangkaian sindiket yang lebih luas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







