BERITA SEMASA

SPRM kemuka 6 syor penambahbaikan tatakelola elak penyelewengan di Perbadanan Labuan

LABUAN – SPRM Wilayah Persekutuan Labuan mengemukakan enam syor penambahbaikan tatakelola kepada Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kewangan di bawah Perbadanan Labuan sebagai langkah mencegah penyelewengan dan ketirisan di dalam agensi berkenaan.

Penyiasatan tatakelola oleh SPRM Wilayah Persekutuan Labuan di Jabatan Kewangan adalah berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja dalam perolehan tender kerja kecil bagi projek secara konvensional bernilai RM10 juta, iaitu kerja-kerja meroboh bangunan bekas Hotel Labuan dan meratakan tapak, Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala, siasatan tatakelola di Jabatan Penguatkuasaan adalah berfokus kepada tatacara pelaksanaan tugas rondaan tempat letak kereta dan tempat perhentian teksi.

Syor penambahbaikan tatakelola yang dicadangkan kepada Jabatan Kewangan Perbadanan Labuan meliputi penambahbaikan Manual Perolehan Perbadanan Labuan dan membuat penggiliran tugas bagi ahli Jawatankuasa Penilaian Tender Kerja.

SPRM Wilayah Persekutuan Labuan turut mengesyorkan supaya Jabatan Penguatkuasaan Perbadanan Labuan mewujudkan dan melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif bagi pelaksanaan rondaan tempat letak kereta dan tempat perhentian teksi; mewujudkan dan membekalkan buku poket rasmi kepada anggota penguat kuasa bagi tujuan merekodkan atau catatan aktiviti harian

Turut disyorkan, pemerhatian dan tindakan penguatkuasaan; memastikan semua kad kuasa anggota penguatkuasa sentiasa berada dalam keadaan baik; dan mengadakan ceramah, taklimat atau kursus secara berkala berkaitan pencegahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Syor berkenaan adalah bagi memperkukuh tadbir urus, mengurangkan risiko rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, di samping meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh keyakinan awam dan kredibiliti Perbadanan Labuan.

Kesemua syor berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Labuan, Augustine S. Manson di Bilik Gemilang, Wisma Perbadanan Labuan, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Perbadanan Labuan, Fadzilah Haji Mahmud; Pengarah Jabatan Kewangan Perbadanan Labuan, Norina @ Morin Ignatius Beatty; dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, Musa Bariong.

Sementara itu, pihak Perbadanan Labuan menyambut baik syor-syor berkenaan bagi memperkukuh tadbir urus, ketelusan dan integriti.

Persetujuan dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang ditandatangani bersama antara Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail dan Augustine.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button