SPRM tahan 2 penjawat awam disyaki buat tuntutan palsu
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua penjawat awam kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu bagi memperoleh tuntutan elaun berjumlah kira-kira RM30,000.
Difahamkan, tuntutan itu membabitkan elaun tugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana yang dipercayai dilakukan antara 2022 hingga 2023.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi Khamis lalu, ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM cawangan Lahad Datu.
Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Tawau pada 24 September ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








