SPRM buka kertas siasatan kes tender RM58.45 juta UKM
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu perolehan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernilai RM58.45 juta.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, pihaknya sudah memanggil lima individu untuk diambil keterangan berhubung perkara itu.
Beliau berkata, SPRM membuka kertas siasatan selepas pendedahan dilakukan Laporan Ketua Audit Negara pada Julai lalu.
“Setakat ini, proses siasatan termasuk penelitian dokumen berkaitan masih giat dijalankan.
“Selain siasatan jenayah rasuah, SPRM turut membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti aspek pengurusan dan kepatuhan tatakelola dalam perolehan itu,” katanya semalam.
Beliau berkata, SPRM memberi komitmen berterusan dalam memastikan integriti dan pengurusan tatakelola negara dilaksanakan dengan baik, selaras dengan usaha memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perolehan awam.
Pada Julai lalu, LKAN dilaporkan mendedahkan, tiga daripada tujuh tender perolehan UKM berjumlah keseluruhan RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur perolehan yang ditetapkan.
Laporan itu mendedahkan bahawa Jawatankuasa Perolehan Tender UKM telah memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra-Tender.
“Terdapat ketidakteraturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola pengurusan perolehan di UKM. Keputusan Jawatankuasa Perolehan Tender dibuat oleh semua ahli secara kolektif.
“Ini termasuk Jawatankuasa Pra-Tender yang memperakukan syarikat yang gagal di peringkat Jawatankuasa Penilaian Tender bagi kerja menaik taraf dan penggantian 16 unit lif,” menurut laporan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








