80 peratus pendeposit TH belum cukup simpanan RM15,000
KUALA LUMPUR – Kira-kira 80 peratus daripada 4.1 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) masih belum mencapai simpanan minimum RM15,000 yang ditetapkan bagi membolehkan mereka menerima tawaran menunaikan haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, jumlah itu menunjukkan keperluan pendeposit merancang simpanan lebih awal bagi memenuhi tuntutan istito’ah kewangan, iaitu kemampuan menunaikan ibadah haji.
Beliau berkata, jumlah minimum itu ditetapkan menerusi inisiatif Seruan Istito’ah dengan mengambil kira kadar bayaran haji bagi kumpulan B40, sedangkan kos sebenar menunaikan haji ialah RM33,300.
“Ia juga ditetapkan sebagai penanda aras tahap kesiapsiagaan simpanan pendeposit dalam mencapai istito’ah kewangan, iaitu pelan persediaan haji menyeluruh baharu.
“Ia bertujuan memupuk budaya persediaan haji lebih awal,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Menurutnya, langkah berkenaan turut menunjukkan kesan apabila kadar permohonan penangguhan tawaran haji menurun daripada kira-kira 50 peratus kepada 18 peratus selepas syarat simpanan minimum itu diperkenalkan bersama peringatan awal kepada bakal jemaah.
Menjawab soalan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) di Parlimen, Zulkifli berkata, TH masih mengekalkan prinsip ‘dahulu didahulukan’ dan memberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 kepada pendeposit berdaftar untuk mencukupkan simpanan serta mengekalkan giliran masing-masing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







