Peraturan baharu Arab Saudi jadi cabaran petugas haji perubatan Malaysia
PUTRAJAYA – Rombongan petugas haji perubatan Malaysia dijangka berdepan cabaran baharu pada musim haji tahun ini susulan pelaksanaan peraturan terkini oleh kerajaan Arab Saudi.
Peraturan tersebut menetapkan jemaah dari luar negara perlu menggunakan syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan swasta tempatan bagi rawatan pesakit dalam, manakala perkhidmatan pesakit luar masih dibenarkan diselia oleh rombongan perubatan negara masing-masing.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, perubahan itu secara tidak langsung meningkatkan tahap pengawasan serta kawalan dalam operasi haji.
Menurut beliau, semua petugas perlu bertindak lebih tangkas dan proaktif bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada Duyufurrahman kekal pada tahap terbaik seperti musim-musim haji terdahulu.
“Justeru, tuan-tuan dan puan-puan perlu lebih tangkas dan proaktif bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada jemaah haji sentiasa terpelihara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Ahmad menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tabung Haji serta agensi tempatan di Arab Saudi bagi memastikan kelancaran operasi perubatan musim ini.
Beliau berkata, rombongan perubatan Malaysia kali ini terdiri daripada 225 petugas berpengalaman dan baharu merangkumi doktor am, pakar perubatan keluarga, pakar kesihatan awam, pakar kecemasan, jururawat, ahli fisioterapi, ahli farmasi serta pakar dietetik.
“Walaupun saiz pasukan mungkin lebih kecil, kualiti perkhidmatan perlu dipertingkatkan, terutama apabila jemaah yang memerlukan rawatan lanjut dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Sementara itu, Tabung Haji turut mengingatkan semua petugas agar mengekalkan nilai integriti, ihsan dan profesionalisme sepanjang melaksanakan tugasan di Tanah Suci.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








