Menteri Agama puas hati persediaan haji tahun ini
KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkukuh reputasi sebagai antara pengurusan haji terbaik dunia dengan persiapan bertaraf antarabangsa bagi musim haji tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, beliau berpuas hati selepas melihat sendiri persediaan yang tersusun dan teliti untuk bakal jemaah di Tanah Suci.
“Alhamdulillah, saya sempat turun padang tengok sendiri persiapan musim haji kali ini. Bukan biasa-biasa – semuanya tersusun, teliti dan sangat sistematik,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau malam tadi.
Menurut Dr Zulkifli, pengurusan TH sememangnya diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia yang diperakui melalui Anugerah Tertinggi Labbaitum Diamond Award bagi pengurusan jemaah haji.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa TH masih berusaha untuk terus meningkatkan pencapaian semasa demi keselesaan jemaah.
Katanya, antara penambahbaikan utama ialah peningkatan kemudahan tandas dan bilik air di Arafah sehingga lima kali ganda yang disifatkan memberi impak besar kepada kebajikan jemaah.
Selain itu, TH turut memperkenalkan inisiatif Green Hajj yang menekankan aspek kelestarian alam sekitar dalam pengurusan ibadah haji.
“Lebih menarik bila TH mula bawa inisiatif ‘Green Hajj’ dengan menjaga kelestarian alam sekitar sambil urus ibadah, memang cara berfikir aras lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga TH atas komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran operasi haji pada setiap tahun.
“Tahniah buat semua warga Tabung Haji yang bekerja keras di belakang tabir. Semoga segala urusan dipermudahkan, dilindungi dan diberkati Allah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








