BERITA SEMASA

Menteri Agama arah TH ambil tindakan penipuan Badal Haji

PUTRAJAYA – Kerajaan mengarahkan Tabung Haji (TH) memantau dan mengambil tindakan segera terhadap pengendali pakej Badal (upah) Haji sekiranya melibatkan penipuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau akan menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai lambakan pakej Badal Haji yang ditawarkan pada harga terlalu murah.

“Saya akan mengadakan perbincangan untuk menentukan sekiranya bidang kuasa (Badal Haji) jika jatuh pada pada TH. Jika betul, kita akan ada kawal selia yang betul dan garis panduan.

“Saya kerap dengar isu ini tapi perlu dapatkan maklumat terperinci, TH perlu ambil tindakan,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri kementerian itu di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata, hasil daripada perbincangan dengan TH akan dikongsikan minggu depan.

Sementara itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati dan memeriksa status pengendali pakej yang kelihatan meragukan.

Semalam, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun mendedahkan lambakan iklan badal haji di media sosial yang menawarkan kos serendah RM1,500 hingga RM3,500 seorang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button