BERITA SEMASADALAM NEGERI

Saman RM10 juta: Pemilik akaun Facebook mohon maaf kepada Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Pemilik akaun Facebook “Hafiz Sahidi”, Muhammad Hafiz Sahidi, hari ini memohon maaf secara terbuka kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar berhubung satu hantaran di laman sosial berkaitan isu sekolah pondok.

Dalam kenyataan bertarikh 4 November 2025, Muhammad Hafiz mengakui kenyataannya sebelum ini yang menggambarkan seolah-olah Mohd Na’im mengarahkan penutupan sekolah-sekolah pondok di Kelantan dan Kedah adalah tidak benar, salah dan tidak menepati fakta sebenar.

“Saya kini faham bahawa berita sebenar adalah penafian daripada pihak YB Menteri sendiri mengenai isu tersebut dan saya telah tersilap lapor fakta tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya.

Tangkap layar kenyataan pengguna Facebook bernama Muhammad Hafiz Sahidi

Menurutnya, hantaran berkenaan telah dipadam lebih awal setelah mendapati sumber asal gambar dan pautan berkenaan daripada Pertubuhan Muafakat Pondok SeMalaysia turut diturunkan daripada laman rasmi mereka.

Muhammad Hafiz turut mengakui bahawa penggunaan bahasa tidak wajar terhadap Menteri Agama, termasuk kata-kata menghina seperti “bodo” dan “2×5”, adalah tidak berasas serta tidak sepatutnya diucapkan.

“Saya dengan ikhlas dan tanpa syarat menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada YB Senator Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im atas kata-kata yang saya siarkan serta salah faham yang timbul,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merayu agar tiada sebarang tuntutan kewangan atau kos dikenakan terhadapnya, dengan alasan dirinya hanyalah orang kampung biasa berpendapatan kecil dan mempunyai tanggungan keluarga ramai.

“Tindakan saya menulis hantaran tersebut adalah kerana terpengaruh dengan emosi dan maklumat tidak sahih, tanpa niat jahat terhadap sesiapa. Saya benar-benar menyesali perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulangi kenyataan serupa pada masa akan datang,” ujarnya.

Permohonan maaf terbuka itu dibuat selepas Mohd Na’im mengemukakan surat tuntutan (Letter of Demand) terhadap pengguna media sosial tersebut berhubung kenyataan berunsur fitnah mengenai isu penutupan sekolah pondok.

Mohd Na’im sebelum ini menegaskan bahawa Kerajaan Madani tidak pernah mengarahkan penutupan sekolah pondok, sebaliknya komited memperkukuh institusi berkenaan sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan pendidikan Islam di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button