AGAMABERITA SEMASA

Kebajikan keluarga wira Sumud Flotilla terjamin – Mohd Na’im

SEPANG – Keluarga peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza akan terus diberi perhatian sewajarnya sepanjang mereka bertugas di medan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengambil tanggungjawab memastikan bantuan sewajarnya diberikan kepada keluarga wira-wira negara yang sedang menyertai misi tersebut.

“Saya juga sempat berhubung secara maya dengan wira-wira peserta Sumud Flotilla yang kini berada di medan. Perjuangan untuk membantu dan mempertahan mereka adalah semangat juang yang wajib ada dalam hati setiap orang beriman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas melawat Sumud Command Centre Nusantara (SNCC) di ibu pejabat MAPIM, di sini hari ini.

Menurut beliau, isu Palestin dan Gaza amat dekat di hati rakyat Malaysia dan semangat yang ditunjukkan sukarelawan di pusat kawalan itu wajar dicontohi.

“Saya kagum melihat semangat juang para sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan misi ini. Mereka bekerja keras memastikan bantuan kemanusiaan yang dibawa oleh Sumud Flotilla ini berjaya sampai kepada rakyat Gaza,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Naim turut menyeru seluruh rakyat Malaysia terus menyokong misi berkenaan agar segala usaha membawa sinar buat rakyat Gaza mencapai kejayaan.

“Ayuh teruskan sokongan kita! Semoga misi ini diberkati dan mencapai kejayaan, insya-Allah,” katanya.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap enklaf itu, dan cekal berdepan pelbagai rintangan serta ugutan termasuk serangan dron.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button