AGAMABERITA SEMASA

Zahid syorkan naikkan elaun petugas barisan hadapan Jakim, Jain, Main

BANGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan elaun pendakwah kontrak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam negeri (Jain) dan Majlis Agama Islam negeri (Main), dinaikkan.

Menurut Ahmad Zahid, kenaikkan elaun bagi penggerak masyarakat Orang Asli, mubaligh serta guru agama itu wajar dinaikkan selari dengan paras gaji minimum susulan pelbagai permasalahan yang dihadapi golongan tersebut khususnya di kawasan pedalaman.

“Pendakwah atau mubaligh ini dikategorikan sebagai usaha dakwah sukarela dan dikenali sebagai sukarelawan penyebaran dakwah. Namun Jain, Main dan Jakim sudah mengambil beberapa inisiatif untuk meletakkan mereka sebagai pendakwah perkhidmatan secara kontrak.

“Jumlah elaun yang diberikan kepada mereka secara relatifnya masih rendah. 

“Apa saya sarankan tadi (dalam ucapan), elaun untuk mereka ditambah kerana kerja dakhwah menyantuni banyak permasalahan saudara baru termasuk di pedalaman,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Mualaf Madani Peringkat Kebangsaan 2023 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Dalam Majlis tersebut, Ahmad yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia melancarkan aplikasi Glosari Bahasa Isyarat Islam (i-SIGN) sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun ILIM.

Aplikasi tersebut adalah satu inisiatif bagi membantu komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat, termasuk golongan mualaf dan Orang Asli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button