AGAMABERITA SEMASA

Isu perluas pensijilan halal ke tadbir urus negara tidak berbangkit – JAKIM

PUTRAJAYA – Proses pensijilan halal negara tidak boleh disamakan dengan aspek tadbir urus negara kerana kedua-duanya mempunyai peranan berbeza, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Menurut Dr Sirajuddin, konsep halal dalam Islam sememangnya bersifat menyeluruh merangkumi keadilan sosial, integriti dan tadbir urus yang baik, namun pensijilan halal merupakan mekanisme rasmi bagi memastikan keyakinan pengguna Islam serta memantau industri agar mematuhi piawaian syariah.

“Tanpa pensijilan halal yang sah, umat Islam berisiko berdepan kekeliruan, manipulasi pasaran serta eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab dan hanya industri yang memenuhi kriteria dan standard ditetapkan sahaja layak diberikan sijil halal Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam konteks pentadbiran negara, Sirajuddin menjelaskan, tanggungjawab membanteras rasuah, memperkukuh integriti dan menegakkan keadilan adalah mandat jabatan, kementerian serta agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia dan institusi kehakiman.

Sehubungan itu, dakwaan agar pensijilan halal diperluaskan kepada aspek tadbir urus negara tidak berbangkit kerana bidang berkenaan sudah ditangani melalui mekanisme berautoriti.

“JAKIM terus fokus memastikan pensijilan halal kekal unggul, di samping memperkukuh peranan dakwah dan pendidikan dalam menegaskan larangan syariah terhadap rasuah,
salah guna kuasa dan pengkhianatan amanah,” katanya.

Sirajuddin menambah, pihaknya komited memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi mengekalkan pensijilan halal Malaysia sebagai penanda aras antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button