Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota cerminan kerajaan prihatin kebajikan ummah
BESERAH – Karnival Al-Falah MADANI Indera Mahkota melabuhkan tirainya semalam dengan pelbagai pengisian rohani dan aktiviti komuniti sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memelihara kebajikan rakyat berteraskan nilai keislaman dan ihsan.
Dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan rakan-rakan agensi Hal Ehwal Agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, karnival itu berlangsung dengan penuh penghayatan di Dataran Beserah, Pahang.
Pada hari terakhir, karnival diserikan dengan program istimewa ‘Subuh Macam Jumaat’ yang menyaksikan ribuan jemaah membanjiri masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah.

Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Al-Makki memimpin solat fardu Subuh dengan bacaan merdu dan tartil yang menyentuh hati dan membawa jemaah mengimbau suasana solat seperti di Masjidil Haram.
Selain itu, pelbagai pameran, jualan dan aktiviti kekeluargaan turut diadakan yang mencerminkan pendekatan inklusif dan menyeluruh dalam mendidik serta mendekatkan masyarakat kepada nilai-nilai Islam yang syumul.
Pada program itu juga, diadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Musa’adah Al-Falah MADANI yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Antara sumbangan yang diumumkan ialah RM30,000 bagi menaik taraf tiga buah masjid termasuk Masjid Jamek Beserah, RM40,000 untuk menaik taraf lapan buah surau dan RM30,000 disalurkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) serta institusi tahfiz.
Selain itu, sebanyak RM60,000 turut diperuntukkan sebagai sumbangan bakul makanan kepada 300 keluarga golongan asnaf, manakala RM10,000 disumbangkan untuk penyediaan beg dan peralatan sekolah bagi pelajar kurang berkemampuan.
Mohd Na’im dalam ucapannya menegaskan inisiatif itu merupakan bukti nyata keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap rakyat terutamanya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
“Karnival ini memperlihatkan kesungguhan kita dalam menyantuni masyarakat dengan pendekatan rahmah dan peduli. Kita tidak mahu ada sesiapa pun yang terus dibelenggu kesusahan,” ujar beliau.
Beliau turut menyeru agar sinergi antara 14 agensi Hal Ehwal Agama dan kerajaan negeri terus diperkukuhkan dalam merealisasikan Pelan Transformasi Al-Falah agar keseimbangan antara dunia dan akhirat dapat dicapai dan Islam terus mekar di bumi Malaysia.
Karnival Al-Falah MADANI membuktikan bahawa dakwah dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu pentas yang meriah, berilmu dan menyentuh jiwa rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








