Dakwaan Malaysia iktiraf serta-merta sijil halal AS tidak berasas, berniat jahat – Zafrul
KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya negara akan serta-merta mengiktiraf sijil halal Amerika Syarikat (AS) adalah tidak berasas, bersifat mengelirukan dan berniat jahat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak mencerminkan fakta sebenar yang telah dipersetujui dalam rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat sebelum ini.
Zafrul menjelaskan, antara perkara utama yang dipersetujui termasuk membenarkan pengimportan daging, produk daging, unggas dan produk unggas ke Malaysia.
Namun katanya, produk itu harus mempunyai sijil halal dari badan pensijilan halal Amerika Syarikat yang mematuhi piawaian dan standard halal yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Kerajaan tidak berkompromi dan terus mengekalkan standard halal yang mematuhi syariah bagi memelihara kepentingan pengguna di kalangan umat Islam di Malaysia,” katanya.
Zafrul berkata demikian ketika membentangkan isi kandungan rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat susulan pengurangan kadar tarif 19 peratus yang dikenakan terhadap Malaysia sebelum ini di sidang Dewan Rakyat.
Zafrul menjelaskan, rundingan tersebut memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat refleksi ke atas dasar-dasar yang sekiranya ditambah baik, dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia di peringkat global.
Baca juga : Perolehan pesawat Boeing oleh MAG berdasarkan keperluan jangka panjang – Tengku Zafrul
“Fasilitasi yang ditawarkan di sini hanya berkaitan pemantauan dan verifikasi yang akan dilaksanakan oleh Badan Pensijilan Halal Amerika Syarikat yang diiktiraf oleh JAKIM.
“Ini adalah langkah yang akan meningkatkan kawalan dan penyeragaman proses pensijilan halal tanpa menjejaskan standard halal yang telah ditetapkan,” tegas beliau.
Selain isu pensijilan halal, beberapa perkara lain turut dipersetujui dalam rundingan tersebut, termasuk memudahkan proses pensijilan dan pendaftaran fasiliti untuk eksport produk tenusu, daging, produk daging serta unggas dari Amerika Syarikat ke Malaysia mengikut peraturan domestik yang telah ditetapkan.
Kerajaan juga bersetuju untuk menerima pelaksanaan kaedah ‘regionalisation’ bagi kawalan penyakit haiwan untuk eksport unggas hidup dan produk unggas dari Amerika Syarikat,
Selain itu, proses pengiktirafan standard dan pemasaran produk perindustrian seperti produk automotif, peranti perubatan dan farmaseutikal akan diperkemas berdasarkan peraturan domestik yang ditetapkan.
Zafrul turut menekankan kerajaan Malaysia komited untuk mempertingkatkan penguatkuasaan isu hak harta intelek, perburuhan, alam sekitar, dan pengurusan perikanan mampan, selaras dengan komitmen negara dalam pertubuhan antarabangsa yang berkaitan.
Dalam pada itu, Zafrul menegaskan komitmen Malaysia untuk menjaga kepentingan pengguna Islam dengan tidak berkompromi dalam soal pensijilan halal, sekaligus menangkis dakwaan yang cuba mempengaruhi keputusan rundingan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








