Glamping With Pride: JAKIM tidak kompromi program bercanggah ajaran Islam
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang menormalisasikan perlakuan seks songsang jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran Islam, selain bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun serta kerangka perundangan negara.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya memandang serius penganjuran program “Glamping With Pride” yang dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana didakwa menyentuh dan mempromosikan amalan seks songsang yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam serta undang-undang negara.
Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa dan perkara berkenaan kini berada dalam pemantauan rapi JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk peruntukan Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Seksyen 25] serta Kanun Keseksaan [Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D] yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan penganjuran sebuah program bertajuk “Glamping With Pride” oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Hulu Langat yang dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 18 haribulan ini sehingga mencetuskan kemarahan dan bantahan dari pelbagai pihak.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, JAKIM akan terus mempergiat peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam, agar tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup.
Tambahnya, sebarang perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam tidak akan dikompromi dan semua pihak dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang serta menyalurkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







