BERITA SEMASA

Wanita tunggal terajui operasi haji PJH, terima pujian Duta Besar Malaysia

MEKAH – Keupayaan seorang wanita Malaysia mengetuai operasi haji yang kompleks di Tanah Suci mendapat pujian Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman ketika melawat pusat operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Tri-D Travel & Tours Sdn Bhd di Hotel Moyad Banonah, di sini hari ini.

Pengarah Urusan Tri-D Travel and Tours Sdn Bhd, Sarina Sharif (empat dari kanan) bergambar bersama Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman ketika melawat pusat operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Hotel Moyad Banonah, di sini hari ini.

Menurut beliau, Pengarah Urusan Tri-D Travel and Tours Sdn Bhd, Sarina Sharif membuktikan bahawa wanita juga mampu memimpin operasi berskala besar yang memerlukan ketelitian dalam menguruskan pergerakan, kebajikan dan keselamatan jemaah sepanjang musim haji.

“Saya dimaklumkan Sarina merupakan satu-satunya Ketua Jemaah Haji wanita daripada 34 syarikat pelancongan yang diberikan lesen PJH oleh Tabung Haji pada musim haji tahun ini.

“Bukan mudah untuk mengendalikan operasi haji yang melibatkan pelbagai peraturan, pergerakan jemaah yang ramai serta pelbagai cabaran di lapangan. Ia memerlukan komitmen, disiplin dan kepimpinan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ringkas bersama jemaah haji Tri-D Travel & Tours sempena lawatan beliau ke pusat operasi syarikat berkenaan.

Sarina
Pengarah Urusan Tri-D Travel and Tours Sdn Bhd, Sarina Sharif bergambar bersama Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman ketika melawat pusat operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH) di Hotel Moyad Banonah, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Rombongan Haji Malaysia merangkap Pengarah Haji Lembaga Tabung Haji, Mohd Hisham Harun.

Sarina turut memberikan taklimat ringkas kepada pada tetamu mengenai perjalanan operasi haji dan pengurusan jemaah syarikat itu.

Syed Mohamad berkata, kejayaan operasi haji Malaysia sentiasa bergantung kepada kerjasama erat antara Tabung Haji, PJH dan para petugas yang bertungkus-lumus memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

Sarina
Sarina memberikan taklimat ringkas kepada pada tetamu mengenai perjalanan operasi haji dan pengurusan jemaah syarikat itu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas haji Malaysia yang terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi memastikan jemaah dapat menunaikan ibadah dengan selesa dan sempurna.

Dalam pada itu, beliau berkata disiplin tinggi jemaah Malaysia terus mendapat pujian daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Ini semua menjadi antara faktor Tabung Haji kekal diiktiraf sebagai antara negara yang mempunyai sistem pengurusan haji terbaik di dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button