BERITA SEMASA

“Saya banyak dosa, tapi Allah pilih saya…” – Dr Akmal sebak bakal tunai haji bersama ibu, isteri

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meluahkan rasa sebak dan berdebar menjelang keberangkatannya menunaikan ibadah haji bersama ibu dan isterinya, malah mengakui perasaan kali ini jauh berbeza berbanding kunjungan umrah yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Menurut beliau, semakin hampir tarikh berangkat, semakin kuat perasaan sayu dan berat yang dirasainya sehingga menitipkan doa agar sekiranya ditakdirkan meninggal dunia, biarlah di bumi suci Mekah atau Madinah.

“Saya tak tahu kenapa saya rasa berat, sangat berat, saya pergi umrah banyak kali tetapi nak pergi haji dia rasa berdebar lain macam.

“Kalau ikut logik akal, saya rasa macam tak dapat pergi tahun ini tetapi bila kita percaya dengan kuasa dan takdir Allah, bila Allah kata jadi, maka jadilah,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial hari ini.

Beliau berkata, peluang terpilih menjadi tetamu Allah bersama ibu dan isterinya merupakan hadiah paling tidak ternilai dalam hidupnya.

“Saya rasa ini hadiah yang paling tidak ternilai buat saya kerana lagi dekat nak pergi, lagi rasa berdebar.

“Saya nak minta doa daripada akak-akak dan orang kampung agar dipermudahkan segala urusan ibu dan isteri saya mengerjakan haji dan saya juga doa agar Allah jemput kita semua mengerjakan haji,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, terdapat satu doa yang sentiasa dipinta ketika berada di Tanah Suci iaitu agar dikurniakan husnul khatimah di bumi suci Mekah atau Madinah.

“Ada satu doa yang mesti diminta iaitu jika ditakdirkan meninggal dunia, biarlah di sana kerana Rasulullah SAW kata sebaik-baik tempat meninggal dunia ialah di Tanah Suci.

“Saya banyak dosa, banyak kelemahan. Kalau nak dibanding amal dengan orang lain, ramai lagi lebih hebat, tapi Allah pilih saya, mak saya dan isteri saya,” katanya.

Beliau yang dijadual berangkat pagi esok turut mengakui dirinya hanyalah insan biasa yang tidak sempurna dan mempunyai banyak kekurangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button