BERITA SEMASAPMX

[VIDEO[ Fokus kerajaan untuk kesejahteraan rakyat, bersihkan negara daripada amalan sakau – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan ketika ini masih stabil dan tumpuan perlu diberikan kepada usaha melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kerajaan berbanding mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal.

“Sekarang ini fokus ekonomi, fokus kesejahteraan rakyat dan fokus untuk membersihkan negara daripada amalan salah guna kuasa dan sakau.

“Bagi saya, fokus ini yang penting. Keadaan yang ada sekarang, kerajaan masih stabil, kita tumpu yang ini,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya, di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan supaya mengadakan PRU lebih awal seperti diminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tambah beliau, individu yang menjalankan amanah dengan bersih tidak seharusnya gusar terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Jangan gusar. Orang yang ada amanah, yang bersih tidak harus takut dengan tindakan yang diambil oleh SPRM ataupun PDRM ataupun LHDN,” katanya.

@malaysiatribune

Zahid Hamidi, Hadi Awang minta PRU awal, ini jawapan PM #malaysiatribune #beritasemasa #anwaribrahim #pru #trendingnewsmalaysia

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Menurutnya, kerajaan tidak boleh terus membiarkan amalan salah guna kuasa dan rasuah berterusan, meskipun beliau sendiri berdepan tekanan serta pelbagai cadangan berhubung perkara berkenaan.

“Saya tahu saya sendiri pun ada hadapi beberapa tekanan, cadangan, tetapi saya ambil keputusan seperti mana yang saya sampaikan kepada mesyuarat Jemaah Menteri pada hari Rabu.

“Kita dapat mandat mentadbir, mengurus dengan baik, bersihkan negara daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap semua pihak memberikan sokongan kepada agensi penguatkuasaan untuk menjalankan tugas secara berhemah dan adil.

“Kita mahu agensi ini jalankan kerja dengan berhemah, adil. Bukan maksud kita seperti ditohmah menekan sesiapa.

“Ada bukti, teruskan. Tak ada bukti, lepaskan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button