PM Anwar berhajat pulangkan kenderaan EV dihadiahkan Erdogan kepada negara
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berhajat untuk menyerahkan kenderaan elektrik (EV) yang dihadiahkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kepada negara selepas tidak lagi menjawat jawatan perdana menteri.
Perdana Menteri berkata, beliau sempat menggunakan kenderaan itu meninjau persiapan menyambut kehadiran Presiden Turkiye terbabit sempena lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari.
“Semalam, saya kebetulan cuba mobil EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye..beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri, tapi bagi saya kepada negara, ia bukan hak saya,”
“Saya boleh guna selagi saya menjadi Perdana Menteri, tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Kenderaan berjenama TOGG keluaran Turkiye itu diterimanya baru-baru ini sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.
Anwar berkata, beliau melihat puluhan penjawat awam dari pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, polis dan bahagian pendidikan sedang bertugas mempersiapkan lawatan rasmi Presiden Turkiye.
Justeru itu, beliau amat menghargai segala kerja-keras dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus mempersiapkan sambutan berkenaan.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk membuktikan kecekapan penjawat awam dalam mengurus ratusan program secara berkesan.
Katanya, pengurusan ASEAN bukan hanya mengenai kedudukan atau kebanggaan, sebaliknya mencerminkan kemampuan penjawat awam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Ini tentunya memerlukan penugasan yang lebih daripada biasa. Tahap persiapan kita bagi acara itu di antara yang terbaik yang saya saksikan.
“Walaupun tidak semewah beberapa negara, tetapi tahap kecakapan, disiplin dan kerapian itu sangat membanggakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








