BERITA SEMASAPMX

PM Anwar nafi kerajaan promosi liberal atau pluralisme agama

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan penyebaran agenda liberalisme dan pluralisme agama menerusi Persidangan Pemimpin Agama Antarabangsa (ICRL) 2024 yang dihadiri tokoh daripada pelbagai agama.

Jelas beliau, sebaliknya persidangan berkenaan bertujuan untuk menjalinkan persefahaman sesama sendiri selain menggalakkan budaya berkenal-kenalan meskipun berbeza agama.

“Ada yang kata kenapa anjurkan persidangan seperti ini? Adakah kamu sokong pandangan liberal atau pluralistik? Tidak..Kami tidak promosikan liberalisme, tidak. Kami promosikan Lita’arafu (berkenal-kenalan), kami promosikan kefahaman, karamah insaniah, kemanusiaan dan itu tanggungjawab sebagai muslim.

“Muslim juga perlu tunjukkan karakter yang bertoleransi, saling faham antara satu sama lain dan penyayang selain bersifat adil,” katanya dalam satu ucapan pada ICRL 2024, di sini hari ini.

Tambah Anwar lagi, keadilan yang dimaksudkan itu bukan sekadar perlu ditegakkan di dalam negara sahaja malah wajarlah disebarkan ke negara lain juga.

Persidangan anjuran Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Liga Dunia Muslim (MWL) Arab Saudi itu dihadiri kira-kira 2,000 tokoh agama serta intelektual dari 57 negara.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Agung MWL dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam, Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut hadir.

Matlamat persidangan adalah menekankan kepentingan agama dalam menggalakkan keamanan dunia, mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan meneroka cara kolaborasi masa kini, di samping melancarkan inisiatif yang terhasil daripada Piagam Makkah serta menonjolkan nilai-nilai murni pelbagai agama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button