
Ketua jabatan tidak lapor kesalahan pegawai bawahan akan disekat naik pangkat
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran, ketua-ketua jabatan yang tidak melaporkan kesalahan tata tertib pegawai bawahan akan disekat daripada kenaikan pangkat.
Beliau berkata, peluang kenaikan pangkat kumpulan itu akan terjejas kerana didapati tidak memikul tanggungjawab sebagai ketua jabatan dalam memperkukuhkan integriti dan tadbir urus perkhidmatan awam.
“Kadangkala, ada guru besar atau ketua jabatan yang lebih mementingkan imej jabatan atau sekolah sehingga kejadian seperti penderaan murid tidak dilaporkan kepada polis.

“Ada juga ketua jabatan yang mengetahui pegawainya memiliki kekayaan yang meragukan tetapi tidak melaporkannya.
“Jika ini terbukti, ketua jabatan tersebut tidak akan dinaikkan pangkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di sini hari ini.
Anwar turut mengarahkan ketua jabatan untuk melaksanakan pusingan kerja (job rotation) secara berterusan bagi mengelakkan berlakunya kes salah laku dalam kalangan pegawai.
Beliau turut menekankan keperluan untuk memastikan perkhidmatan yang terus kepada rakyat seperti tugas doktor di hospital dan pegawai polis di lapangan disesuaikan dengan beban tugas hakiki, dan bukan lagi dibebani dengan tugasan pentadbiran.
Anwar turut meminta agar cadangan tersebut dilaksanakan sebelum pembentangan Belanjawan pada Oktober ini dengan pelaksanaannya dijadualkan bermula 1 Disember depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








