BERITA SEMASAPMX

PM tegaskan tolak politik perkauman, yakin menang PRN Sabah

TAWAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya rakyat menolak politik berasaskan kebencian kaum dan etnik sambil menyatakan keyakinan bahawa momentum kempen yang positif akan diterjemahkan kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, Sabtu ini.

Beliau berkata, keyakinan itu hadir susulan sambutan luar biasa daripada rakyat sepanjang siri jelajah dan program yang dihadirinya di Sabah.

“Insya-Allah, sambutan baik dan kita harap kemenangan yang bergaya,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas berucap di Program Ceramah PMX Sayang Sabah di Dewan Terbuka Merotai, malam tadi.

Dalam ucapannya di hadapan ribuan hadirin, Anwar menegaskan bahawa politik yang membakar sentimen perkauman hanya membawa perpecahan serta mengekang kemajuan negara.

“Saya di sini untuk menyampaikan mesej. Saya tidak mahu politik yang serang parti sana, yang Bugis marah Melayu, Melayu marah Cina, Sabah marah Semenanjung. Saya tak mahu ini semua. Rakyat mesti diutamakan,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat memilih kepimpinan yang berintegriti, mempunyai rekod kerja jelas serta fokus membangunkan masyarakat bukannya memanipulasi isu kaum demi keuntungan politik.

“Siapa mahu jadi wakil rakyat, siapa mahu perintah Sabah, siapa mahu perintah Malaysia mesti jaga amanah dan angkat martabat rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, keamanan dan keharmonian di Sabah perlu terus dipelihara kerana ia merupakan asas penting kepada kestabilan dan kemajuan negara secara keseluruhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button