PM kongsi Leksikon Belanjawan 2027, perkenal 14 istilah kepada rakyat
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi maklumat grafik bertajuk Leksikon Belanjawan 2027 bagi membantu masyarakat memahami istilah dan frasa khusus yang digunakan dalam ucapan pembentangan belanjawan.
Perkongsian menerusi media sosial itu disertakan kapsyen ringkas: “Jom belajar dengan guru”.
Leksikon berkenaan menghimpunkan 14 istilah berserta maksudnya, merangkumi perkataan daripada bahasa Melayu klasik, istilah keilmuan Islam serta rujukan sejarah dan kesusasteraan.
Antara istilah yang diketengahkan ialah waad yang bermaksud janji atau ikrar, lighad (untuk hari esok), seyogia (sepatutnya atau sewajarnya) dan citra nusa yang merujuk gambaran atau imej tanah air.
Turut disenaraikan ialah beranotasi iaitu disertakan catatan atau penjelasan tambahan; menata yang bermaksud menyusun atau mengatur secara terancang; serta inayat yang membawa maksud pertolongan atau kurniaan, lazimnya daripada Tuhan.
Bagi istilah berkaitan sistem dan pemikiran, pranata merujuk sistem, peraturan atau institusi yang mengatur kehidupan masyarakat, manakala filasuf bermaksud ahli falsafah.
Leksikon itu turut menerangkan istilah Ithaca, kota purba di Greece yang dikaitkan dengan tanah air Odysseus dalam karya kesusasteraan. Istilah berkenaan juga membawa gambaran tentang ingatan sejarah yang murni dan tulus.
Selain itu, dasawarsa bermaksud tempoh 10 tahun atau satu dekad, khulasah merujuk rumusan atau inti pati sesuatu perkara, manakala turath membawa maksud warisan keilmuan dan pemikiran tradisional, khususnya dalam tradisi Islam.
Istilah terakhir yang diketengahkan ialah zaman mansang, yang dikaitkan dengan konsep zeitgeist dalam bahasa Jerman. Konsep itu merujuk semangat dan tuntutan sesuatu zaman, termasuk amanah generasi hari ini untuk memikul tanggungjawab terhadap generasi akan datang.
Hantaran tersebut meraih 5,400 reaksi, 463 komen dan 696 perkongsian semula.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








