Jalaluddin nafi dakwaan kemuka usul tidak percaya MB N9
KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menafikan dakwaan beliau akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada sidang DUN akan datang.
Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata, tiada sebarang perbincangan mengenainya pernah diadakan, lapor FMT.
“Sama sekali tidak betul. Tiada sebarang aturan mahupun perbincangan untuk buat usul undi tidak percaya terhadap menteri besar,” katanya sambil menjelaskan beliau tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian.
Jalaluddin menegaskan, pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan ketika ini berjalan lancar tanpa sebarang krisis kepimpinan.
“Setakat ini, kita tidak ada masalah kepimpinan di Negeri Sembilan dengan menteri besar. Biar (Ismail) buat kerja beliau sebagai menteri besar, dan saya sebagai ketua parti akan buat kerja sebagai ketua parti.
“Kita banyak lagi perancangan dan agenda untuk kepentingan negeri serta masyarakat yang perlu kita selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap laporan memetik sumber bahawa UMNO Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan usul tidak percaya terhadap Ismail.
Menurut sumber yang enggan dinamakan itu, usul itu akan dikemukakan oleh Jalaluddin sendiri, namun tertakluk pada kepimpinan pusat Umno.
Sumber itu dilaporkan berkata, barisan baharu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) juga mungkin diumumkan sekiranya langkah itu diteruskan.
Sidang DUN dijadualkan berlangsung pada 26 Nov selepas ditangguhkan daripada 16 Oktober bagi menyelaraskannya dengan pembentangan belanjawan negeri bagi 2027 pada hari berikutnya.
Speaker DUN, Datuk Seri Awaludin Said sebelum ini memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang notis rasmi mengenai usul tidak percaya terhadap Ismail, menegaskan beliau tidak akan membenarkan usul tergempar sekali pun untuk menjatuhkan menteri besar.
Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar pada 2 Ogos susulan PRN yang menyaksikan Barisan Nasional meraih 18 kerusi, Pakatan Harapan 11, manakala Perikatan Nasional memenangi tujuh kerusi.
Pentadbiran beliau bagaimanapun dibayangi krisis perlembagaan berhubung cubaan melucutkan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








