BERITA SEMASA

Remaja 16 tahun ditemukan lemas di Pantai Sepat

KUANTAN – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang di Pantai Sepat, di sini, hari ini.

Mayat Muhammad Raiyan Anuar ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang ditamatkan pada pukul 1 tengah hari tadi selepas mangsa disahkan meninggal dunia dan dikenal pasti ahli keluarganya.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mazlan Mat Rejab berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan kejadian menerusi talian kecemasan NG999 pada pukul 9.51 pagi.

Beliau berkata, operasi CARILAMAT diaktifkan pada pukul 10.15 pagi dengan penglibatan Maritim Malaysia Negeri Pahang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pencarian awal tertumpu di kawasan perairan dalam lingkungan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sebelum diperluas di sepanjang pantai dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam,” menurut kenyataan itu.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis pada pukul 12.50 tengah hari sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti rekreasi di pantai, selain mematuhi arahan keselamatan dan sentiasa peka terhadap keadaan laut semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button