BERITA SEMASAPMX

Jualan Ihsan Rahmah 9.9 Online dilancar sempena Hari Malaysia

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menganjurkan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September ini sempena sambutan Hari Malaysia 2026 sebagai inisiatif membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan diselaraskan dengan semangat kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia selain menjadi kesinambungan usaha menyediakan manfaat kepada rakyat melalui platform dalam talian.

Beliau berkata, pelaksanaan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian itu turut mendapat sokongan menerusi inisiatif yang diperkenalkan TikTok Shop.

“Jadi semangat kemerdekaan Hari Malaysia dan inisiatif yang diambil TikTok Shop, saya sambut dan untuk meneruskan inisiatif atau ikhtiar ini, saya nak selarikan peringkat awal dengan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian (online).

“Jualan Ihsan Rahmah Online dan kita akan luncurkan khas dan hebahkan sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian TikTok Shop Summit 2026, hari ini.

Anwar berkata, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan sebagai tanda sokongan menyeluruh kepada rakyat Malaysia, termasuk mereka yang berada di negara ini.

Menurutnya, pelaksanaan jualan secara dalam talian itu dijadualkan pada 9 September 2026, bersempena sambutan Hari Malaysia.

“Ingatkan seluruh rakyat. Ini sebagai tanda dokongan menyeluruh kepada 34.5 juta rakyat Malaysia dan saya percaya jutaan lain yang duduk di Malaysia iaitu kita akan adakan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 dalam talian pada 9 September 2026 sempena sambutan Hari Malaysia 2026,” katanya.

Menurut Anwar, program itu akan dilaksanakan secara besar-besaran dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan platform digital bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau mahu promosi serta hebahan mengenai program berkenaan dipertingkatkan supaya lebih ramai pengguna dan usahawan tempatan dapat mengambil bahagian.

Program Jualan Rahmah yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button