
PM bentang KSP RMKe-12 di Parlimen Isnin ini
PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual untuk membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat pada Isnin ini.
Perdana Menteri berkata, dokumen itu penting dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, spiritual dan material berteraskan nilai-nilai Madani.
“KSP RMKe-12 adalah satu lagi tindakan kerajaan dalam menjelmakan agenda Ekonomi Madani yang saya usulkan.
“Ia adalah dokumen kebijakan yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, spiritual dan material berteraskan nilai-nilai Madani,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu Perdana Menteri menerima dokumen KSP RMKe-12 daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Yang hadir sama, timbalannya, Datuk Hanifah Hajar Taib dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.
Dalam pada itu, Anwar berkata, dasar dan inisiatif yang bakal diumumkan ini bukan sahaja dibentuk daripada pemikiran di kementerian-kementerian tetapi juga berpandukan kepada permasalahan, keperluan dan keutamaan rakyat, komuniti perniagaan serta kesemua negeri.
“Saya yakin KSP RMKe-12 ini akan dapat memacu pertumbuhan Malaysia yang lebih seimbang dan mapan di masa hadapan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








