Kemajuan negara perlu seiring budaya ilmu dan nilai kemanusiaan – Anwar
KUALA LUMPUR – Aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju dan bertamadun tidak boleh hanya diukur melalui kemajuan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan budaya ilmu dan nilai kemanusiaan dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan sebenar negara MADANI terletak pada pengukuhan nilai, etika serta amalan membaca, bukan sekadar pencapaian dalam bidang kecerdasan buatan (AI) atau industri semikonduktor.
“Kita tidak mahu jadi manusia yang semata-mata pintar dalam bidang pengkhususan tertentu. Kita mahu manusia itu diangkat sebagai manusia dengan keindahan nilai kemanusiaannya,” katanya ketika berucap di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026), hari ini.
Menurut beliau, pembangunan teknologi dan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pengukuhan nilai moral serta prinsip kemanusiaan, khususnya dalam masyarakat yang berpegang kepada agama dan budaya.
Anwar berkata, kerajaan memberi tumpuan besar terhadap agenda digitalisasi, transformasi teknologi serta pembangunan industri baharu kerana ia menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan menarik pelaburan asing.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan material tanpa asas budaya ilmu akan menyebabkan masyarakat kehilangan nilai ketamadunan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menegaskan kepentingan budaya membaca dalam kalangan rakyat kerana ia menjadi teras kepada pembinaan tamadun yang berilmu.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan pemberian Baucar Buku MADANI sebanyak RM100 secara bersasar kepada pelajar sekolah menengah serta mahasiswa institusi pengajian tinggi bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















